Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kita dapat lihat kemunculan peniaga-peniaga kecil online bak cendawan tumbuh selepas hujan. Ramai yang jadi ‘peniaga bidan terjun’. Ada yang sekadar suka-suka ikut trend semasa, ada yang terdesak demi kelangsungan hidup.
Walau apa pun tujuan memulakan bisnes online semasa tempoh PKP, satu persamaan di antara majoriti mereka ini ialah mereka bermula dengan modal yang sangat rendah atau tiada modal langsung.
Bagaimana nak mulakan perniagaan dengan segera tanpa modal yang besar?
Caranya ialah dengan menjual produk orang lain, sebagai ejen atau secara dropship.
Pada asasnya, ejen dan dropshipper (orang yang membuat bisnes secara dropship) kedua-duanya tidak menjual produk sendiri, tetapi menjual produk yang dihasilkan oleh orang lain. Inilah sebabnya mereka boleh memulakan bisnes dengan modal minima atau tiada langsung kerana semuanya telah diuruskan oleh pengasas produk, mereka hanya perlu promosikan produk kepada orang ramai.
Persoalan seterusnya, mana satu yang lebih bagus? Macam mana nak pilih?
Jom kita lihat 5 perbezaan utama antara ejen dan dropship.
PERBEZAAN #1 – PENDAFTARAN
Sebagai permulaan, untuk mendaftar sebagai ejen, anda perlu membayar yuran pendaftaran dalam lingkungan puluhan hingga ratusan ringgit di mana anda akan mendapat ‘starter kit’ seperti produk dalam kuantiti tertentu dan bahan promosi untuk memulakan jualan.
Manakala bagi dropship pula, selalunya tiada yuran pedaftaran dikenakan tetapi ada juga pengasas produk yang masih mengenakan yuran pendaftaran yang rendah RM20-RM50 sebagai tanda komitmen.
PERBEZAAN #2 – STOK
Selain daripada membayar yuran pendaftaran, ejen perlu membeli stok daripada HQ sebelum boleh mula menjual. Ada sesetengah HQ mewajibkan belian stok minimum yang ejen perlu buat pada setiap bulan. Kegagalan untuk mencapai belian minimum ini boleh menyebabkan ejen disingkirkan daripada senarai ejen.
Berbeza dengan ejen, dropshipper tidak perlu keluarkan modal untuk membeli stok daripada HQ, tidak perlu simpan dan urus stok sendiri. Dropshipper boleh terus mula menjual dan hanya perlu rujuk HQ untuk status stok semasa produk.
PERBEZAAN #3 – PENGHANTARAN
Ejen perlu uruskan sendiri penghantaran produk kepada pelanggan. Dari ambil tempahan, terima bayaran sampailah kepada pembungkusan dan penghantaran, semuanya ejen uruskan sendiri.
Dropshipper hanya perlu ambil tempahan daripada pelanggan, beri butiran tempahan kepada HQ dan HQ akan uruskan penghantaran produk kepada pelanggan.
PERBEZAAN #4 – KEUNTUNGAN
Biasanya margin keuntungan ejen adalah sekitar 40%-50%, adakalanya boleh mencecah sehingga 60%-70%, bergantung kepada ‘pricing structure’ yang dibuat oleh pihak HQ.
Komisen daripada jualan dropship pula adalah pada sekitar 10%-20%. Walaupun nampak sedikit, tetapi ianya berpatutan dengan kerja-kerja dropshipper yang hanya berperanan seperti ‘promoter’.
PERBEZAAN #5 – RISIKO
Walaupun keuntungan menjual sebagai ejen adalah lebih tinggi berbanding secara dropship, namun risiko sebagai ejen juga adalah lebih tinggi kerana ejen perlu menyimpan stok serta menguruskan tempahan dan penghantaran sendiri kepada pelanggan. Ejen berdepan dengan risiko produk tidak terjual, penghantaran yang lambat, pelanggan yang tidak puas hati dan bermacam-macam lagi risiko lain.
Kesimpulannya, anda tidak perlu hasilkan produk sendiri untuk mula buat bisnes online. Anda boleh bermula dengan menjual produk orang lain. Antara ejen dan dropship, sukar untuk dinyatakan yang mana satu lebih baik kerana ia bergantung kepada apa yang anda mampu beri komitmen sama ada dari segi modal atau cara kerja. Pilihan di tangan anda.
0 Comments